Uncategorized

Terbiarnya Sebuah Resort di Atas Gunung Raya

Share

D’Coconut Hill Resort terletak di atas Gunung Raya, Langkawi. Di kenali dengan gunung tertinggi di Langkawi dengan ketinggian 881 meter paras laut dan hutan simpan menempatkan banyak hidupan liar seperti monyet, rubah terbang, kera, tupai, helang, burung hantu dan macam-macam lagi. Puncak gunung raya adalah pembentukan granit besar yang menawarkan pemandangan yang menakjubkan dari persekitaran lereng-lereng bukit, pulau-pulau jiran dan Laut Andaman. Pengunjung dapat melihat pada sudut 360 darjah tanah Langkawi.

Tambahan pula ada ‘jungle trekking’ di mana pengunjung dapat melihat burung-burung eksotik dan untuk mencabar diri, mendaki gunung raya mengunakan ‘trek tangga helang’.

Sekarang ia terbiar. Tiada pengunjung. Hanya seorang pengawal keselamatan menjaga resort itu di waktu malam.

Sejarah Gunung Raya

Gunung Raya dapat namanya dengan satu peristiwa di antara pahlawan Mat Raya dan pahlawan Mat Cincang. Kedua-dua mereka mempunyai anak remaja yang bercinta antara satu sama lain. Kedua-dua ibubapa mereka setuju untuk mengahwinkan mereka.

Pada hari perkahwinan anak mereka, Mat Raya dan Mat Cincang telah berselisih faham. Oleh kerana ego, di mana dua-dua tak mahu mengaku kalah, berlakulah pergaduhan antara Mat Raya dan Mat Cincang.

Mereka tidak menghiraukan orang ramai yang hadir ke majlis itu. Berbagai-bagai alatan, hiasan, apa sahaja yang menghalang pergerakkan mereka akan di sepak, di tendang atau di langgar. Satu belanga terpelanting jauh di situ. Tempat itu dinamakan Belanga Pecah. Kuah gulainya pula terabur di satu kawasan lain. Tempat itu di namakan Pekan Kuah.

Akhirnya mereka sedar dan malu apa yang mereka telah lakukan. Mat Raya dan Mat Cincang lari bertapa ke dua buah gua berasingan. Mereka mati di sana. Tempat bertapa Mat Raya adalah di Gunung tertinggi di Langkawi. Lalu nama gunung itu di panggil Gunung Raya.

Apa Terjadi?

Apabila kita tanya apa terjadi dengan orang tempatan, jawapan mereka sama, Gunung Raya berhantu. Pada awal pembinaan jalan ke atas gunung itu, ada satu peristiwa yang misteri. Sebuah bajak yang sedang membuat jalan ke atas gunung itu, terjatuh. Mayat pemandu itu tidak temui. Sejak itu penduduk Langkawi percaya Gunung Raya itu berpuaka atau berhantu.

Selepas siap pembinaan resort itu, pengunjung yang sempat menginap di sana juga sentiasa akan merasa tidak sedap hati. Mereka merasa diri mereka di perhati. Ada juga yang katakan mereka di ganggu. Kadang-kadang dengar bunyi perempuan mengilai, dinding di ketuk dan sebagainya. Malam di sana akan berkabus, ini menambahkan suasana seram di resort itu.

Tidak pasti bila ia tutup, tapi jangkaan kami akhir 2017 awal 2018. Kawasan itu masih mempunyai pengawal keselamatan yang menjaga resort itu. Mungkin pemiliknya masih ada hajat untuk hidupkan semula. Tapi sebenarnya ia menjadi tempat skodeng untuk budak-budak remaja. Jika tidak ada pengawal, mungkin bilik dalam resort itu telah di gunakan untuk kepuasan mereka.

Orang tempatan memberitahu kami bahawa di situ hantu yang mereka selalu nampak adalah hantu langsuir. Kadang-kala mereka nampak seorang perempuan berjalan sendirian.

Suasana Puncak Gunung Raya

Dalam perjalanan naik ke gunung raya, jam 1 pagi, perasaan terbelah bagi. Takut, teruja, semua ada. Jalannya dah rosak, lampu tidak berfungsi. Kami terpaksa mengunakan highbeam sepanjang perjalanan ke atas. Keadaan menjadi seram apabila jalan berkabus. Salah seorang kami kata dia ternampak sesuatu terbang tepi kereta tapi tak pasti ia burung atau lebih dari itu. Setibanya di situ, kami lihat resort itu telah di tutup jalan masuknya.

Walau bagaimana pun lami cuba memasuki resort itu tapi di halang pengawal keselamatan yang menjaga tempat itu. Dengan kabus tebal menyelubungi pemandangan kami, agak seram juga berada di luar resort itu. Oleh kerana hanya dapat berlegar di luarnya, kami tak dapat pengalaman yang kami harap. Dengan keadaan hampa, kami turun.

Semasa perjalanan turun dari resort itu, kami masih boleh lihat beberapa kereta naik ke atas. Ada juga motor. Kami berpeluang untuk menahan pemandu kereta di tengah-tengah jalan dan sempat bertanya tujuannya naik ke atas. Jawab mereka “ingin merasa sendiri seram sejuk suasana di atas gunung itu.” Kami sambung bertanya tak takut ke dengan hantu? “Mereka tak ganggu kami, kalau kami tak ganggu mereka,” kata salah seorang lelaki dalam kereta itu. “Kalau berani cabar mereka, gerenti mereka munculkan diri.”

 

Published by
Jon