Hari raya adalah waktu paling teruja untuk kita pulang ke kampung termasuklah Mikail. Bukan sahaja dapat berjumpa ibu bapa dan sanak saudara malah inilah masanya untuk dia berjumpa tunangnya yang jauh di mata. Dari awal lagi Mikail sudah mengambil cuti panjang untuk beraya di kampung.

Biar pun Kuala Lumpur dan Ipoh tidaklah jauh, namun bagi pemuda yang baru bekerja sepertinya sudah tentu perlu berjimat-cermat tambahan pula dia dan tunangnya, Nadia akan mendirikan rumah tangga.

Berbeza dengan orang lain, setelah tiga atau enam bulan bekerja pasti akan membeli sebuah kereta untuk keselesaan ke sana, sini. Sebaliknya Mikail lebih selesa berjimat dengan menaiki motosikal. Jimat belanja, jimat minyak dan tidak perlu bersesak kerana dia bekerja di tengah ibu kota. Duit yang ada juga disimpan baik untuk majlisnya nanti.

Hari yang dinanti telah tiba, syawal disambut penuh meriah di kampung Mikail kerana abang dia baru dapat anak pertama. Ramai sanak-saudara datang berkunjung, Mikail penat uruskan dapur dan makanan untuk disajikan kepada tetamu. Penat tetapi menyeronokkan.

Dari awal Mikail memang merancang ingin pergi beraya ke rumah Nadia pada hari raya ketiga dan abangnya telah berjanji untuk pinjamkan kereta. Bimbang pula Mikail hendak ke Pulau Pinang menaiki Honda EX5 dari Ipoh.

Ads

Tetapi tatkala hari kejadian, anak abangnya demam dan perlu dibawa ke klinik. Akhirnya bermotosikal juga dia ke Pulau Pinang seorang diri kerana Nadia telah merajuk apabila Mikail cuba berkompromi untuk datang pada keesokan harinya.

Demi Kekasih Mikail Turutkan

Biar pun letih melayan tetamu tetapi kerana kekasih hati Mikail kuatkan juga semangat untuk ketemu cinta hati. Alhamdulillah, keluarga Nadia meraikan Mikail dengan tangan terbuka dan meminta Mikail pulang esoknya sahaja kerana hari telah hampir maghrib.

Ads

Namun Mikail perlu juga pulang kerana keesokan harinya majlis cukur jambul anak buah. Dalam terpaksa, Mikail cuba beranikan diri biarpun hatinya rasa tidak keruan. Tepat jam tujuh petang, Mikail bergerak pulang. Berkali-kali Nadia meminta berhati-hati dan hubungi sekiranya apa-apa berlaku.

Benarlah apa yang dirasainya mula menjadi nyata, apabila motosikalnya tiba-tiba mati di tengah jalan. Pelik. Minyak telah diisi penuh, tayar juga cukup angin. Sudahlah gelap gelita di tepi Lebuh raya Utara Selatan (PLUS). Talian telefon pula tidak aktif.

Lelaki Misteri

Ads

Walaupun hati berdebar-debar, dirinya berdoa agar ada sesiapa hulurkan bantuan padanya. Tiba- tiba sebuah skuter putih berhenti dan dengan isyarat tangan sahaja dia nyatakan ingin membantu Mikail dengan menolak motosikalnya.

Tanpa berfikir panjang, Mikail menyarung topi keledar dan meneruskan perjalanan dengan bantuan lelaki misteri tersebut. Bulunya mula berdiri tegak apabila motosikalnya ditolak laju seperti 100km/jam. Bayangkan sebuah skuter menolaknya naik bukit menuju terowong menora. Benar-benar pelik selaju itu dia ditolak.

Hatinya tidak tenang tetapi Mikail tidak berani memalingkan wajahnya untuk melihat wajah penunggang motosikal tersebut hinggalah dia melepasi terowong menora. Tatkala itu motosikalnya dilepaskan apabila menuruni bukit. Serentak mulut menjerit apabila melihat skuter itu hilang sekelip mata.

Jika selama ini dia tidak percaya dengan cerita yang dikaitkan dengan terowong menora, kini sedikit demi sedikit dia mulai mempercayainya. Mikail sendiri lalui pengalaman itu dan  dia demam selama seminggu.