This Content Is Only For Subscribers
Selepas seminggu berpindah di kawasan pedalaman sebuah kampung yang terletak di Kuala Lipis, Azman yang bertugas sebagai Pegawai Jabatan Perhilitan sudah mula berasa keseorangan. Buat sementara waktu, isteri dan anak-anaknya masih tinggal di ibu kota memandangkan urusan untuk berpindah sekolah mengambil masa yang agak panjang. Di situ Azman tinggal di sebuah rumah sewa dan kebanyakan jirannya adalah rakan-rakan sekerjanya.
Setiap hari, rutinnya dia akan tiba di rumah sebelum maghrib. Memandangkan dia tinggal bujang, kadangkala lupa stok makanan tidak banyak. Satu hari, jam menunjukkan tepat 9 malam dan perut Azman mula berkeroncong. Dia mula mencari makanan di almari dapur namun yang ada cuma beberapa keping biskut kering.
Azman merancang untuk ke pekan berhampiran, terus dicapai kunci kereta di atas rak almari kasut. Ketika sedang memandu, di sebuah kawasan hutan, tiba-tiba muncul seorang lelaki tua yang sedang berjalan kaki, Azman berhenti dan mengajak lelaki itu menaiki keretannya. Namun lelaki itu enggan dan selesa berjalan kaki sahaja.
Tibanya di Pekan, Azman terus membeli barangan keperluan di sebuah kedai runcit. Dia juga memesan burger untuk makan di rumah nanti. Ketika sedang duduk menanti burger siap, Azman melihat lelaki tua yang diajak naik keretanya tadi, sedang berjalan kaki menuju ke kedai runcit. Ditanya pemuda yang sedang memasak burger, siapakah orang tua itu, pemuda itu hanya menggelengkan kepala. Ketika memandu pulang, orang tua itu sentiasa berlegar-legar di minda Azman. Dia berasa pelik, kerana orang tua itu begitu cepat sampai sedangkan jarak dari hutan ke Pekan agak jauh. Tibanya di rumah, Azman terus menikmati burger bersama milo panas sambil melayan telefon pintarnya.
Tiba-tiba, kedengaran pintu rumahnya diketuk. Lantas Azman bangun membuka pintu, namun dia begitu hairan kerana tiada sesiapa di luar. Begitu juga ketika hendak melelapkan mata, Azman mendengar lagi ketukan dari luar, namun tidak diendahkan. Keesokan paginya Azman keluar bekerja seperti biasa, jalan yang dilalui pada pagi itu kelihatan sesak dengan ambulans dan kereta polis. Dia bertanya kepada orang ramai yang berada di situ, mereka memberitahu ada seorang lelaki tua mati dilanggar dan mayatnya tercampak di lereng bukit.
Mangsa Langgar Lari
Berderau darah Azman apabila mendengar berita tersebut. Dia syak pasti pakcik yang dijumpai semalam menjadi mangsa langgar lari. Ketika pulang dari kerja, dia melihat sekujur mayat di tepi jalan yang masih belum dibawa naik ke dalam kenderaan polis. Tibanya di rumah, dia duduk termenung sambil mengimbas kembali tentang pakcik tua itu.
Tiba-tiba orang tua yang sentiasa bermain di mindanya, berada tepat di hadapannya. Azman sempat bertanya kepada pakcik tersebut, benarkah dia yang menjadi mangsa langgar lari itu. Namun pakcik itu cuma menggelengkan kepala. Kemudian orang tua itu cuma, berkata, “mana anak aku?” Tiba-tiba Azman terjaga apabila mendengar alunan azan Maghrib, rupa-rupanya dia bermimpi. Selepas selesai solat, Azman ke rumah rakan sekerjanya yang tinggal selang beberapa rumah dari rumah sewanya. Dia bercerita tentang pakcik tua misteri yang dijumpai dan kisah lelaki tua yang menjadi mangsa langgar lari. Rakannya, menjelaskan peristiwa yang sama dialami rakannya itu ketika mula-mula berpindah ke kawasan itu.
“Aku pun alami perkara yang sama, pakcik itu sebenarnya sudah lama meninggal namun mengikut kisah orang kampung ini, rohnya tidak aman. Dia dibunuh oleh anaknya sendiri yang menjadi penagih dadah. Pada waktu itu anaknya meminta wang namun dia tidak mahu berikan. Pergelutan berlaku dan akhirnya anak pakcik itu telah menikam ayahnya sehingga mati. Kini, rumah pakcik itu kosong tidak berpenghuni. Rumah pakcik itu terletak di dalam hutan jalan hendak ke pekan dan kini rumah itu kosong tiada penghuni. Sebab itu kenderaan yang lalu di kawasan itu pasti akan diganggu roh pakcik tua itu,” rungkai rakan Azman. Manakala pakcik tua yang menjadi mangsa langgar lari semalam pula dilanggar ketika dia sedang mengayuh basikal menuju ke pekan.