Peristiwa Pelik Di Jalan Gelap

Share

Kisah ini berlaku semasa aku umur baru masuk sekolah menegah. Tak ingat umur berapa, dah lama sangat. Sekarang aku dah berumur 36 tahun. Boleh bayangkan berapa lama gap umur tu. Ok. Balik kepada cerita.

Aku dan keluarga aku dalam perjalanan ke Kuala Kedah. Saudara ayah nak kahwin dengan orang sana. Jadi kami sekeluarga dalam perjalanan ke sana. Dalam kereta tu ada aku, ayah, ibu dan makcik aku.

Lepas berhenti makan malam dan solat maghrib, perjalanan kami diteruskan. Kata ayah ini perhentian terakhir kita, tiada singgah mana-mana tempat kecuali tandas. Kami ikut je arahan ayah. Kami pun keluar dari highway ke jalan biasa.

Jalan waktu malam sudah tentu membosankan lebih-lebih lagi di kawasan hutan dan ladang. Tak menarik dan gelap. Aku mula ngantuk tapi terjaga apabila ayah terlanggar sesuatu. Aku tengok abah rasa cemas. Abah kata mungkin dia terlanggar sesuatu. Kami berhenti di bahu jalan. Dari cermin pandang belakang abah tak nampak apa-apa.

Ayah suruh aku tengok. Aku ajak Makcik aku teman sekali. Kami berdua pun keluar dari kereta. Kami tak nampak apa-apa disebabkan kegelapan malam bahkan disuluh dengan lampu picit pun memang kosong jalan tersebut.

Tiba-tiba saja Makcik aku menjerit, “Kepala berguling!”. Berderau darah aku serta merta. Kepala berguling itu berguling menuju ke kami. Ia berhenti tepat pada suluhan lampu picit. Sebaik je berhenti, aku nampak ia jelas kepala itu. Rambutnya masih segar. Mukanya sudah pucat. Berdarah meleleh di kepala. Dengan tidak sangka, makcik aku menendang kepala itu ke tengah jalan. Sebuah lori yang lalu disitu membuka lampu tinggi dan membunyikan hon lalu melenyek kepala tadi. Terkedu aku. Makcik menarik aku masuk balik dalam kereta.

Aku tak tahu apa terjadi tapi bermacam-macam perasaan aku rasa. Terkejut, takut, seram sejuk, menggigil, geli semua lah. Makcik beritahu apa yang berlaku. Dia suruh ayah teruskan perjalanan tapi ayah tak nak. Sebaliknya ayah dengan berani keluar dari kereta dan menyuluh semula ke jalan. Hatinya bimbang jika benar dia dan lori tadi melanggar sesuatu. Kami resah gelisah dalam kereta. Tak lama kemudian ayah masuk semula. Ayah seperti tergesa-gesa pandu terus. Ibu cuba tanya apa berlaku, ayah senyap sahaja. Dia memasang cd surah Al Quran sepanjang perjalanan ke Kuala Kedah. Matanya tak habis-habis memandang tepi cermin.

Ayah simpan rahsia malam itu sampai lah kami berjumpa semula makcik. Ayah memberitahu bahawa tak jauh dari tempat kita berhenti tu ada kubur lama. Dia tak nampak kepala atau mayat yang di katakan, tapi sebaik sahaja dia naik kereta, dia nampak ada seekor jembalang bertenggek belakang bonet kereta kita. Katanya lagi nasib tak lama.

Kejadian itu masih menghantui aku sampai sekarang, sebab apa yang ayah nampak dengan apa yang kami lalui, seperti dua cerita berlainan. Aku masih ingin tahu kepala siapa yang aku nampak beberapa tahun lepas.

 

Published by
Jon