Bukan mudah untuk Haikal melupakan perkara yang menimpa mereka empat beranak enam bulan lalu.

Pada awalnya Haikal sekeluarga tidak berniat untuk mengikut keluarga mentuanya bercuti di sebuah pulau di pantai Timur atas desakan kerja di pejabat yang menggunung. Memohon cuti panjang memang agak payah di kala projek klien sedang menimbun tetapi di saat akhir, setelah puas dipujuk isterinya, Nadia, dia mengambil keputusan untuk mengikut percutian yang telah dirancang.

Perkara menjadi sukar apabila Haikal dan isterinya tidak turut serta menempah bilik hotel dari awal dan mereka berdua mencari bilik hotel lain yang berdekatan semata-mata untuk bercuti bersama keluarga isterinya itu.

Pencarian mereka tidak berhasil sehinggalah mereka tiba di lokasi percutian, namun dengan bantuan kenalan lama Haikal, dapatlah mereka sebuah bilik kecil untuk mereka menginap dua malam bagi menghilangkan lelah. Biar pun pada mulanya pihak hotel menyatakan kesemua bilik penuh dihuni tetapi di saat akhir disebabkan rasa kasihan pada Haikal yang memujuk rayu, akhirnya mereka akur memberi sebuah bilik kepada Haikal.

Biarlah kurang selesa tetapi dekat dengan keluarga mertuanya yang tinggal di hotel yang kurang lima kilometer dari hotel mereka. Selesai urusan check in, Haikal mengangkat semua barangan di dalam bonet kereta. Maklumlah anak-anaknya masih kecil banyaklah barang perlu diangkut.

Ads

Nadia dan anak-anak disuruh Haikal berada di lobi hotel, sementara dirinya mengangkat barang satu-persatu. Kala itu anaknya Syauqi dan Maisarah terlena melentuk di atas sofa lobi, barangkali letih perjalanan daripada Kuala Lumpur. Selepas mengangkut barangan, naiklah empat beranak ini ke dalam bilik hotel.

Masuk sahaja ke dalam bilik, Syauqi terus terbeliak matanya sambil menuding jari pada satu sudut. Terdapat sofa usang di situ, antik dan unik. Mungkin perkara itu menarik perhatiannya. Tak lama kemudian, Maisarah yang baru berusia enam bulan, menangis sekuat hati secara tiba-tiba.

Nadia yang melihat keadaan Maisarah jadi cemas, baru sahaja beberapa minit melangkah ke dalam bilik, pelbagai perkara sudah berlaku. Sepantas kilat Nadia menguatkan suhu penghawa dingin kerana terasa badan Maisarah terlalu panas.

Ads

Namun anaknya tetap terus-terusan menangis. Nadia fikir mungkin Maisarah ingin mandi, jadinya dia meminta bantuan Haikal untuk memandikan anaknya dan Nadia menyiapkan susu serta tempat tidur yang selesa untuk Maisarah lelapkan mata.

Setelah dimandikan keadaan Maisarah tetap sama, dia juga enggan minum susu. Keadaan menjadi semakin kelam-kabut apabila Syauqi yang dari tadi diam mula menangis seolah-olah nampak hantu. Masih sama seperti tadi, Syauqi menuding jari ke arah sofa lama. Haikal mula terasa tidak sedap hati. Pantas tangannya mencari telefon bimbit untuk memperdengarkan ayat suci Al-Quran. Telefon bimbitnya pula mati akibat kehabisan bateri.

Ads

Tanpa membuang masa, Haikal cuba melaungkan azan di segenap penjuru bilik. Bilik menjadi tenang seketika, anak-anaknya mula melelapkan mata dan menyusu. Rupanya itu bukanlah penghujung cerita. Selang sejam kemudian, anak-anaknya mula menangis lagi. Hati Haikal mula panas dan terus dia bersuara meminta isterinya berkemas untuk keluar dari hotel.

Dalam keadaan celaru, Nadia angkut segalanya dan masukkan ke dalam beg tanpa berfikir panjang. Setelah berkemas, mereka laju turun. Sebelum menutup pintu terdengar suara mengilai dari dalam bilik. Tanpa menoleh mereka terus berlari ke lobi. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menumpang di bilik hotel ibu mentuanya. Biar pun kurang selesa dan bersempit daripada anaknya menangis sepanjang malam.

Keesokan harinya setelah ditanya pada penduduk setempat, rupa-rupanya bilik yang disewa Haikal sekeluarga memang berhantu dan setiap kali musim cuti persekolahan pasti sahaja ada penginap yang diganggu. Sejak itu Haikal berjanji, sekiranya bilik hotel penuh, dia lebih rela membatalkan percutian daripada membiarkan keselamatan anaknya terganggu.

Mujurlah setelah kejadian anak-anaknya semakin pulih apabila berjumpa dengan seorang ustaz. Menurut ustaz  tersebut, makhluk itu memang gemar mengganggu anak-anak kecil. Sebagai ibu dan bapa, sebelum memasuki sebuah rumah atau hotel, lebih baik dibacakan ayat suci Al-Quran atau dilaungkan azan sebagai langkah berjaga-jaga.