Oleh: Hakim S
Kisah bermula sewaktu aku berusia 23 tahun. Ketika itu aku sedang menyambung pelajaran pada peringkat Master di sebuah universiti terkemuka di Shah Alam. Sebelum ini, aku tinggal beramai-ramai menyewa sebagai pelajar sarjana muda. Namun apabila tidak ramai menyambung pelajaran, maka aku pun berpindah ke rumah baru dan selalu keseorangan di dalam bilik. Kadang-kadang membuat assignment yang bertimbun, kadang-kadang main game.
Kawasan yang aku tinggal tu kawasan perumahan baru. Mungkin dulu hutan rimba, ditebang dan dijadikan kawasan perumahan.
Itulah orang kata, makhluk halus ni suka tengok kita seorang diri, habiskan masa sorang-sorang. Mulalah dia suka dekat kita. Aku pula, tanpa mengetahui perkara sebenar, benda ni dah start berdamping dengan aku. Bila berdamping, dia seperti sudah bagi satu ilmu dekat aku. Aku tiba-tiba boleh ‘baca’ orang. Aku boleh baca pasal diri dia, family dia, atau kawan-kawan dia. Orang yang aku tak pernah jumpa, bila ada orang suruh aku baca pasal si polan tu, aku tiba-tiba boleh describe pasal tuan empunya badan tu, history dia, masalah lama dia, masalah sekarang dia, dan cara untuk dia atasi sesuatu masalah itu. Ilmu ni pula aku guna tanpa berguru. Memang silap besar lah ada ilmu tapi tiada guru kan.
Setelah giat membaca orang, sampai la suatu ketika ni aku dah tak tahan dah, aku ke mana-mana aku rasa kelam-kabut, anxiety makin memuncak. Aku rasa aku macam dibelenggu bayang-bayang hitam ke mana-mana je aku pergi. Jadi ada suatu pagi tu, aku sebenarnya dalam perjalanan ke kelas, aku berhentikan kereta, cari nombor telefon tempat perubatan Islam yang terdekat. Aku ingat nak cari yang dekat Shah Alam je, tapi tak bukak lagi sebab waktu tu dalam 7.00pagi. Yang aku dapat telefon waktu tu ialah Pusat Perubatan Darussyifa Bangi.
“Assalamualaikum, ini Pusat Perubatan Darussyifa Bangi ke? Buka ke sekarang?”
“Waalaikumsalam, ya buka, kenapa ya?” jawab seorang Ustaz.
“Saya rasa saya terkena gangguan la” kataku dalam nada teresak-esak.
“Hah ni dah teruk lah ni, datang sini mari,” kata Ustaz tu.
Macam mana dia tahu aku tengah teruk sangat waktu tu, aku pun tak tahu. Aku pun gigihkan diri memandu ke Bangi dari Shah Alam waktu tu. Waktu ke sana, aku memang tak ingat sangat. Sebab rasa diri ni berat sangat, dan bukan aku sahaja yang kawal diri aku waktu tu; faham-faham sahajalah. Aku macam sekejap sedar, sekejap tidak waktu memandu tu. Setibanya di sana memang tak ramai orang. Dua, tiga giliran lepas tu, aku masuk satu bilik tu jumpa seorang Ustaz ni.
Dia tanya, apa masalah. Aku cerita lah hal sebenar. Dan dia pun kata, ya memang ada banyak sangat benda dalam badan aku ni, dia beranak-pinak. Tapi cara dia ubatkan aku tu pun aku tak rasa dia buang. Dia lebih kepada tone down kan benda-benda dalam badan aku ni daripada menguasai aku. Dia cakap, jangan guna lagi ilmu tu. Selepas keluar dari pusat perubatan tu, aku terasa cerah hati sedikit. Dah lama aku tak rasa macam tu, rasa macam sedih dan baru ingat Tuhan.
Kemudian aku rasa tak berdaya nak pulang ke Shah Alam, aku singgah ke rumah bapa saudara di Kajang. Sesampai sahaja di rumah dia, keluar je kereta aku rasakan angin yang kuat memukul-mukul aku. Tapi aku tahu itu bukan angin. Dia punya meremang memang lain macam! Kemudian aku jumpa Pakcik dan Makcik aku di dalam rumah, aku menangis teresak-esak. Ceritakan hal yang sebenar. Tapi makin lama aku duduk dalam rumah tu, makin rasa tak tentu arah. Tiba-tiba Nenek aku yang tinggal dengan mereka, yang sudah berusia lewat 80-an, sarat nyanyuk pun keluar dari bilik dia. Aku pun macam takut semacam jadinya. Aku rasa dekat rumah tu pun banyak ‘benda’ nak kacau aku, dan mungkin ada kaitan dengan nenek aku ni. Makcik aku pun tarik aku keluar rumah.
Keluar rumah, Makcik aku pun cerita hal sebenar. Dia kata rumah dia tu pun sebenarnya banyak ‘benda’. Nenek aku tu pun sebenarnya ada saka. Kenapalah aku tak tahu pasal ni?! Dan, Makcik aku ni pun ada saka juga! Tapi reaksi aku lebih teruk bila dengan Nenek aku tadi. Mungkin sebab Nenek kandung, dan Makcik aku ni hanyalah anak menantu dia. Dalam hati pun aku macam “Ah sudah! Aku datang sebab nak berehat..”. Waktu tu dah petang lepas Zohor, Makcik aku pun tak beri aku masuk rumah dia lagi. Dia kata “Hakim tunggu luar rumah, kita pergi jumpa Ustaz”. Terus kami ke rumah Ustaz.
Sebelum sampai rumah Ustaz, dia berhentikan kereta di tepi jalan. Makcik ‘tunjukkan’ diri dia yang sebenar dekat aku. Dia kata “Nampak tak?”. Aku dalam hati “Ya Rabbi, nampak apa pula ni??”. Nasib baik aku tak nampak apa-apa. Lepas itu dia tanya dekat aku ada amalkan apa-apa ayat ke, aku katakan tidak. Tapi selepas dikorek aku ada amalkan satu ayat ni sewaktu kecil dari Nenek aku yang tadi tu. Sebenarnya sewaktu kecil aku banyak habiskan masa dengan Nenek, dari umur aku 7 tahun sehingga 12 tahun. Selepas arwah Datuk meninggal, aku akan temankan dia setiap malam. Nasib baiklah ibu dan ayah buat rumah dekat dengan Nenek, jadi lepas sekolah agama setiap petang mereka akan hantar aku untuk tidur di rumah Nenek. Kami menetap di Johor. Jadi beberapa tahun kebelakangan ni setelah dia mula nyanyuk teruk, anak Nenek yang lelaki tinggal di Kajang ni ambil untuk dijaga.
Setiap malam, sebelum tidur Nenek suruh amalkan baca Ayat Kursi, 3 Kul, dan satu ayat Quran yang dipertambah isi kandungan yang merepek di belakangnya dalam bahasa Minangkabau. Nenek aku ni sebenarnya berasal dari Padang, Sumatera. Maka tidak hairanlah dia mewarisi saka ini dari sana. Ayat yang merepek dia ajar aku dari kecil tu rupanya ayat pendinding yang dia belajar dan dia turunkan dekat aku. Maka, sahlah aku pun ada saka juga sebenarnya.
Sampai sahaja di rumah Ustaz, cara perubatan dia lakukan lain pula. Di Darussyifa pagi tadi, aku kena tangkal sahaja dan dibaca ayat Ruqyah. Di rumah Ustaz ni pula, dia macam nak tarik terus benda tu keluar dari badan aku. Ayat yang sama juga dia cakap, dalam badan aku ni sebenarnya dah banyak, dah beranak-pinak. Ya lah, dengan gangguan di rumah baru tadi, kemudian dengan saka yang aku warisi lagi. Yang beranak-pinak tu aku tak faham sangat macam mana. Tapi boleh rasa sewaktu proses nak buang tu, terasa banyak yang keluar. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa peritnya sewaktu proses nak buang benda-benda ni dalam badan aku. Sewaktu ‘ditarik’ keluar oleh Ustaz, aku terdengar benda ni menyebut:
“Hakimm…… Hakimmmmm.. Jangannnnnnnnn. Jangaaaaaaan..”.
Macam mereka ni tidak mahu berpisah dari badan aku.
Aku rasa lama juga proses nak buang tu, tahu-tahu dekat luar dah Maghrib. Malangnya, Ustaz tu tak dapat nak buang semua. Selepas sesi aku habis bersama Ustaz tu, aku seperti dalam keadaan yang perit sangat dari segi emosi. Boleh rasa bukan aku kawal diri aku seratus peratus. Aku boleh rasa di bahagian otak aku, benda tu kawal separuh otak kiri aku. Seperti sewaktu dikawal, benda tu mencengkam separuh otak aku. Tetapi bila aku baca ayat-ayat al-Quran, benda tu tidak lagi mencengkam. Ustaz pun kemudian ada cakap, dalam badan aku ni ada Jin jahat, ada Jin baik (Islam) juga.
Lepas tu aku pun balik ke rumah Pakcik dan Makcik aku. Aku baca ayat-ayat Quran selalu. Makcik aku pun dah telefon ibu dan ayah aku waktu tu menceritakan perkara yang sebenar.
Setelah seharian penat melalui pelbagai sesi perubatan, aku pun tidur di ruang tamu mereka dalam keadaan sedih bercampur takut.
Malam itu, aku terkena histeria! Pertama kalinya aku alami perkara ni. Taktahu lah sebab apa, mungkin benda tu masuk balik dalam badan aku. Mungkin benda lain tengok badan aku sudah ada kekosongan, dia nak masuk.
Wallahualam.
Aku memang ingat kejadian ni walaupun sewaktu dia tengah kawal badan aku. Aku waktu tu tengah tidur, tetapi aku boleh nampak benda tu masuk dalam badan aku. Aku seolah-olah tengah ‘astral projecting’. Aku sedang berdiri dari luar badan aku ketika itu, dan aku nampak ada satu lembaga hitam dekat atas kepala aku nak melompat ke dalam badan aku. Dia masuk ikut leher sebab aku boleh rasa dia masuk dari urat leher aku. Sakit. Kemudian aku dah tak ‘astral projecting’, aku terus tersedar.
Sedar-sedar aku tengah menjerit-jerit dalam keadaan terbaring. Waktu aku sedar tu pun, keliling aku ialah Pakcik, Makcik, dan sepupu aku cuba tenangkan aku.
Aku cakap:
“Tolong Makcikkkk, tolooong Pakcik..”
Tapi dalam nada suara yang sangat garau! Bagi mereka yang mengenali aku, suara aku tidak garau langsung.
Namun ketika itu, sangat garau dan Makcik aku menjawab:
“Siapa ni, suara dah berubah ni? Nak aku tolong kau??!”
Aku kali ni terasa badan kiri aku, seperti dikawal Jin jahat, bahagian kanan dikawal Jin baik. Aku boleh rasa yang mereka tengah bergaduh di dalam badan aku. Dalam pada masa yang sama, orang sekeliling aku ceritakan waktu ni aku duduk bersila, membebel tak tentu arah, serta mengeluarkan cemuhan-cemuhan tidak berasas, dengan suara garau.
Kemudian Makcik dan Pakcik aku suruh baca ayat-ayat Quran dan lama kelamaan aku dapat kawal diri aku balik.
Sejak peristiwa ini sehinggalah setahun kemudian, aku tidak berhenti-henti pergi berubat dengan macam-macam Ustaz yang lain. Aku berhenti belajar di Shah Alam dan pulang ke kampung di Johor. Ayah, Ibu, dan adik aku yang jaga aku pula.
Pada awalnya, aku rasa sangat takut untuk berhadapan dengan norma baru ini. Setiap malam selalu mimpi yang bukan-bukan, di mana orang kata tanda-tanda dalam mimpi yang aku alami ini memang dari Jin-jin yang banyak nak bertuankan aku.
Aku selalu mimpi orang nak beri keris, atau mimpi orang nak beri bayi. Mula-mula aku macam ingat mimpi biasa, lama-kelamaan aku sudah pun kenal pasti mimpi sebegini. Kalau mimpi orang nak beri bukan-bukan ni jangan terima. Tapi, dah nama pun mimpi, macam mana nak kawal?! Paling seram sebenarnya mimpi bayi kerana bayi-bayi ni biasanya sangat hodoh nak menyerupai muka orang tua.
Selain itu, dikacau dalam mimpi pun selalu juga. Mimpi paling meremang ialah mimpi pontianak, dia ikat aku di pokok kelapa. Dia ikat aku guna ular hidup!
Terperangkap dalam mimpi pun ada juga. Ada satu masa ni, di siang hari aku tidur di luar bilik dan bermimpi. Dalam mimpi tu, ada makhluk ni nampak macam manusia perempuan biasa, tapi besar dan berwarna hijau. Aku seolah-tahu aku terperangkap dalam mimpi tu. Situasi dalam mimpi tersebut sangat segar dalam fikiran aku: Aku di dalam sebuah rumah kampung yang lama, dan makhluk hijau ni duduk di atas sebuah kerusi, ketawa mengilai-ngilai sebab aku terperangkap dalam mimpi tu. Aku merayu-rayu dengan makhluk ni supaya lepaskan aku. Tetapi, dalam rumah tu juga, ada perhatikan ada juga jenis Jin/bunian yang baik-baik. Mereka ramai dan nampak aku kena kacau dengan makhluk hijau ni. Mereka yang aku rasakan baik ini pula, aku tahu mereka baik sebab semua berpakaian menutup aurat, bertudung, berbaju kurung jenis lama. Sewaktu itu, Jin-jin baik ini berkata antara satu sama yang lain
“Panggil Sarah, panggil Sarahh!..”
Sarah ni sebenarnya adik aku! Dia memang ada di rumah sewaktu aku tengah terperangkap dalam mimpi ni. Jadi, dalam mimpi tu selepas seorang tu suruh panggil Sarah, rupanya, dalam realiti sebenar, adik aku memang ternampak aku tengah tidur tapi mulut terkumat-kamit, dan dia kejutkan aku!
Jadi, aku tak tahu lah macam mana komunikasi yang dilakukan oleh jin baik itu tadi supaya adik aku ni tadi boleh ternampak aku tengah tidur waktu mulut sedang terkumat-kamit, sedangkan dia sedang sibuk membuat kerja rumah.
Perkara ini agak meremang kerana di dalam mimpi itu seolah mereka membantu aku untuk keluar dari mimpi tu.
Lama-kelamaan, perkara gangguan ini beransur pulih. Sekarang umur aku sudahpun 28. Aku tahu benda-benda ni ada lagi dalam badan aku. Aku boleh rasakan. Sewaktu aku menulis cerita ini pun, aku boleh rasakan dia ada. Dia suka kalau kita beri perhatian dekat dia.
Cuma, aku ikut nasihat ibu dan ayah aku untuk buat tak tahu sahaja tentang makhluk-mahluk ni.
Tetapi, nak buat taktahu pun susah juga, terutamanya kalau aku pergi ke tempat-tempat yang ‘keras’ atau berborak dengan orang yang ada ‘benda’ juga dalam badan mereka, aku boleh rasakan.
Cuma, tidaklah aku cakap dengan orang-orang yang aku sedang berbual tu yang dia ada juga. Dan aku pun tidak menceritakan hal ini kepada orang-orang yang aku baru kenal.
Pernah sekali pada hujung tahun lepas, aku ikuti satu persidangan pelancongan di Pulau Pinang, dan antara intipatinya kena melawat kawasan-kawasan bersejarah di sana. Waktu tu, pertama kali aku masuk tokong Cina yang tertua di sana. Kami para peserta persidangan di bawa masuk untuk belajar tentang sejarah tempat tu. Masa masuk, aku waktu tu dah rasa lain, sebab memang kuat terasa ‘dicengkam’. Sudah lama aku tak rasa sebegini. Sebab sewaktu itu, memang tengah giat di dalam tokong tersebut colok dibakar, oleh para penganut yang tengah sembah berhala yang pelbagai jenis. Seluruh bahagian kiri aku kebas tiba-tiba. Tapi aku cekalkan sahaja duduk di dalam tokong itu bersama para peserta yang lain untuk terus dengar taklimat.
Jadi, itu sahajalah cerita untuk kali ini. Pelbagai lagi kisah yang aku tak sempat nak ceritakan. InsyaAllah di kemudian hari.
Nasihat aku kepada mereka yang sedang atau baru mengalami perkara sebegini, janganlah biarkan mereka menakut-nakutkan kita. Manusia lagi tinggi darjatnya daripada mereka ini. Jaga solat, dan ingatlah bahawa Allah sentiasa melindungi kita.
Wassalam.
test sikit
Tahun baru telah bermula. Ini bermakna tiba masa untuk bersekolah semula. Alina tidak sabar untuk ke sekolah. Tambahan pula tahun ini amat penting dalam hidupnya kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Alina bernasib baik kerana lokasi sekolah menengah yang dihadirinya itu tidak jauh dari rumah. Dia boleh berbasikal ke sana. Disebabkan tidak mahu terlambat pada hari pertama persekolahannya, Alina telah keluar awal dari rumah.
Teruja Ingin Jumpa Kawan
Tidak sampai 15 minit, Alina sudah sampai ke perkarangan sekolah barunya. Hari pertama sekolah dibuka Alina berasa amat gembira kerana dapat bertemu dengan beberapa orang rakannya yang sama-sama memilih sekolah menengah yang sama.
Hari pertama persekolahan segala-galanya berjalan dengan baik. Alina tidak sabar untuk menunggu keesokan harinya. Dia berazam untuk pergi setiap hari ke sekolah. Sasarannya adalah untuk belajar dengan lebih tekun untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
Pagi pada hari kedua, Alina tetap bersiap dengan awal. Biarpun keadaan di luar masih gelap, Alina terus ke sekolah seorang diri. Emaknya berpesan agar Alina menunggu adiknya agar mereka boleh pergi Bersama. Tetapi Alina tidak mempedulikan nasihat emaknya.
Alina tidak takut pergi seorang diri. Dia bukannya mahu meninggalkan adiknya. Tetapi adiknya bukan pergi ke sekolah seorang diri. Dia ada dua orang kawan yang sama-sama bersekolah di sekolah yang sama.
Seperti semalam, Alina mengayuh basikal tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Fokusnya adalah untuk ke sekolah. Tetapi apabila tiba di persimpangan jalan, tiba-tiba dia rasa seram sejuk.
Dia terasa seperti ada sesuatu yang mengekorinya. Naik bulu romanya. Segera ditolehnya ke belakang. Namun tidak ada apa-apa pun mengekorinya. Sebaliknya hanya ada beberapa batang pokok besar di sekelilingnya.
Tanpa berlengah Alina mengayuh basikal dengan laju. Tetapi kali ini dia terasa seperti ada seseorang menghembuskan nafas di lehernya. Hati Alina tidak keruan. Dia terus menoleh ke belakang. Tetapi sebaik memandang ke belakang, tidak ada sesiapa pun di situ.
Kayuhannya semakin laju. Kali ini bukan hembusan nafas yang dirasakan. Sebaliknya angin kuat menolaknya dari belakang. Alina terus menoleh ke belakang. Sebaik menoleh dia tergamam apabila melihat satu makhluk sedang bertenggek di atas sebatang pokok besar.
Ngeri dan menyeramkan wajah makhluk tersebut. Tidak pernah dia berhadapan dengan makhluk sebegitu menakutkan dalam hidupnya.
Semakin lama Alina memandang, mata makhluk itu semakin besar. Makhluk itu turut menyeringai menunjukkan giginya yang tersusun tajam. Kecut perut Alina melihatnya. Kayuhannya terus terhenti. Dia seperti terpaku di atas jalan.
Tak Tentu Arah
Alina ingin menjerit tetapi mulutnya seakan terkunci. Dia juga ingin meninggalkan basikalnya. Tetapi dia mampu bergerak. Seakan terpaku di tanah. Begitulah keadaan Alina apabila adiknya menemuinya beberapa minit kemudian.
Adik Alina memanggilnya. Dia hairan kenapa kakaknya berdiri seperti patung di atas jalan raya. Sebaik menghampiri, kakaknya tetap terpaku seperti patung. Apa yang telah terjadi. Hairan sungguh adik Alina melihat keadaan kakaknya.
Melihatkan keadaan Alina itu, salah seorang kawan adiknya terus mengayuh basikal kembali semula menuju ke rumah. Niat adiknya untuk ke sekolah pun terbantut. Melihatkan tidak ada pergerakan daripada kakaknya, adik Alina terus menepuk bahu kakaknya itu untuk mengejutkannya.
Sukar juga untuk menyedarkan Alina. Hanya setelah adik Alina menyapu air ke muka kakaknya itu, barulah Alina seperti terjaga daripada mimpi. Alina seperti terkejut melihat adiknya yang ada di hadapan matanya.
Tidak beberapa lama kemudian, kawan adik Alina kembali semula tempat kejadian bersama dengan bapa Alina. Melihatkan keadaan Alina seperti tidak tentu arah itu telah menyebabkan bapa Alina terus membawanya pulang ke rumah.
Sebaik sampai di hadapan rumah, tiba-tiba bapa Alina terdengar suara anaknya bercakap. Dia seperti baru tersedar dari mimpi. Terus dia meletakkan anaknya di atas kerusi. Sebaik duduk, tiba-tiba sahaja Alina menangis tidak berhenti-henti.
Demam
Belum sempat bapanya menenangkannya, tiba-tiba Alina pengsan. Suhu badannya mula meningkat. Badannya mula panas dan akhirnya Alina demam akibat terkejut. Alina tidak sedarkan dirinya.
Kelam-kabut bapa Alina melihatkan keadaan anaknya. Terus dia meminta adik Alina memanggil ustaz Ali yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka. Tidak lama kemudian ustaz Ali pun tiba.
Sebaik ustaz Ali memeriksa Alina, lelaki itu mengatakan Alina hanya terkejut. Biarlah dia tidur. Sebaik dia terjaga barulah mereka boleh bertanya pada Alina. Keesokan hari barulah Alina sedar.
Apabila ditanya oleh bapanya, Alina seperti tidak mampu bercerita. Dia hanya terdiam. Beberapa kali ditanya, Alina tidak jawab. Akhirnya setelah Alina dimandikan barulah anaknya itu seakan sedar dengan apa yang berlaku. Dia mula bercerita apa yang berlaku.
Keesokan harinya Alina tidak ke sekolah. Setelah dua hari cuti barulah dia mula berani untuk ke sekolah. Tetapi kali ini Alina tidak ke sekolah berseorangan. Setiap hari bapanya perlu menghantar ke sekolah.
Malah setiap kali melalui kawasan simpang jalan di mana terdapat pokok besar itu sudah pasti Alina akan mula menggigil ketakutan. Sampai bila dia berperasaan begitu, Alina tidak tahu. Apa yang pasti selepas ini dia tidak akan berani mengayuh basikal secara keseorangan ke sekolah.
Setelah tamat pengajian di universiti, Raiz mengambil keputusan untuk mencari kerja di bandar sahaja. Alhamdulillah murah rezekinya. Raiz mendapat kerja sepadan dengan kelulusannya. Biar pun pada permulaannya gajinya agak rendah, ianya tidak mendatangkan masalah buat Raiz. Paling penting Raiz dapat peluang pekerjaan dan dapat menimba pengalaman.
Dalam masa yang sama, Raiz mencari rumah sewa berdekatan tempat kerjanya. Pada awalnya, Raiz menyewa seorang diri, mujurlah tuan rumah tidak berkira dan mengenakan sewa yang murah kerana Raiz tinggal sendirian. Lebih mudah dan privasi apabila Raiz tinggal seorang diri. Lagi pula dirinya selalu bertugas di luar daerah, jadi jarang berada di rumah. Rumah hanya dijadikan tempat tidur semata.
Suatu hari ketika dia outstation di Kuantan, Pahang, Raiz mendapat panggilan daripada rakan sekolahnya. Biar pun Raiz ragu-ragu siapakah sebenar rakannya lama ini, tanpa sedar dia bersetuju untuk tinggal bersama. Menurut rakannya, Alif, mereka pernah satu sekolah tetapi berbeza kelas. Puas Raiz mengenang memori tetapi nama Alif ini seolah-olah tidak lekat di fikirannya.
Sepulangnya dari outstation, dia dan Alif mengatur pertemuan. Setelah berbincang dan setuju akan kadar sewa yang dikongsi, Alif akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah pada awal bulan depan. Raiz rasakan mungkin dengan adanya Alif di rumah, tidak perlulah dia risau lagi setiap kali perlu outstation.
Walaupun Raiz tidaklah sealim mana, tetapi sekiranya dia berada di rumah dia tidak melepaskan peluang untuk berjemaah ke masjid. Berbeza dengan Alif, setiap kali Raiz mengajak ke masjid, dia akan berdolak-dalih. Paling ketara apabila diajak solat Jumaat, pasti ada sahaja alasan dicipta Alif.
Terasa Pelik
Pernah suatu hari, ketika pulang dari tempat kerja, ada jiran Raiz menegur, mengapa dia tinggal sendirian. Raiz jadi pelik kerana hampir setahun dia tinggal bersama Alif. Mana mungkin mereka tidak pernah terserempak dengan Alif selama ini. Lebih mengelirukan, jirannya Raiz meminta dia untuk “memagar” rumah atau keluar sahaja dari rumah itu. Pelik juga kerana selama ini dia tidak pula diganggu makhluk halus.
Tetapi Raiz hanya membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja. Namun mungkin sudah tiba masanya Allah ingin menunjukkan perkara sebenar. Suatu malam ketika Raiz pulang lewat malam, kelihatan Alif berada di dapur sedang memasak. Terdengar riuh sekali seperti ada orang lain di dapur. Setelah menjengah hanya Alif seorang, kemudian Raiz masuk sahaja ke biliknya disebabkan terlalu letih.
Keesokan harinya kebetulan Raiz ambil cuti, dia menghabiskan masa mengemas rumah. Maklumlah lelaki kalau hari bekerja bukannya ada masa untuk mengemas. Setelah bilik dan ruang tamu bersih, Raiz menuju ke dapur, di situ Raiz terperasan keadaan dapur yang agak kotor. Hatinya tiba-tiba terdetik, bukankah baru semalam Alif memasak di dapur. Kenapa makanan yang ditinggalkan ini berulat.
Kala itu juga Raiz terasa ingin menjengah ke bilik Alif. Masya-Allah busuknya bilik Alif, keadaan bilik juga tidak terurus dan bersawang. Lamunan Raiz tiba-tiba dipagut rasa terkejut apabila telefonnya berdering. Rupa-rupanya Alif memberitahu yang dia sedang bercuti di kampung kerana ahli keluarga mengadakan majlis tahlil. Alif menjemput Raiz ke kampungnya.
Inilah peluang yang Raiz nantikan, untuk mengetahui siapa sebenarnya Alif. Dengan bantuan Alif, akhirnya Raiz sampai ke kampung halaman Alif. Keluarga Alif pelik bagaimana Raiz boleh datang dan siapa yang siapa yang menjemputnya ke sana. Setelah diterangkan perkara sebenar, barulah mereka tahu yang Raiz adalah kawan kepada Alif.
Namun lebih mengejutkan Raiz apabila keluarga Alif mendakwa bahawa Alif telah setahun meninggal dalam kemalangan jalan raya. Raiz tidak dapat bayangkan bagaimana dia boleh tinggal bersama arwah Alif sejak setahun yang lalu. Oleh kerana tidak mahu mengecilkan hati keluarga sahabatnya, Raiz tidak menceritakan hal yang berlaku, tetapi sejak itu dia terus berpindah dari rumah yang dia tinggal bersama hantu selama ini.
Dari mayang bertandang,
Dari akad sumpahnya mati,
Dari mana datang kau bayang,
Dari jasad ****** ** ****.
Mau kemana Sri Kunaning,
Mayang kau sumpah aku pasakkan,
Mana ke mana aku beriring,
Bayang *** ***** *** *******.
Jengkalmu lading asalnya benang,
Pekaka berantah atas buntingan,
Asalmu gading usulmu jenang
Derhakan ku ****** ***** ********.
Masih terngiang jelas pantun 3 rangkap itu dituturkan lewat telingaku oleh arwah nenda. Bunyinya begitu aneh dan seakan-akan satu seruan pada penghuni alam ghaib. Nama-nama yang disebut juga begitu janggal pada pendengaran ku. Siapa Sri Kunaning? Siapa pula Mayang?
Seminggu lalu nenda terlantar sakit. Badannya begitu kurus dengan kulit kusam berkedut seribu. Pucat. Seakan akan semua bendalir badannya disedut keluar. Anehnya wajah nenda tetap anggun dan berseri seperti perawan sedangkan dia sudah berusia 82 tahun.
Dalam keuzuran nenda itu, aku disuruh pulang segera ke tanah air. Mujur saja aku baru selesaikan ijazah ku dalam bidang perubatan di ireland.
“Pulang segera. Kau cucu sulung dari anak yang sulung. Kau harus ada menemaninya atau dia tidak akan pergi”.
Suara ibu kedengaran cemas dan ada nada sedih terselit disitu. Malam itu juga aku mengambil penerbangan pulang.
Sepanjang perjalanan aku teringatkan nenda. Sememangnya aku cucu yang paling akrab dan paling manja dengannya. Aku membesar dalam jagaannya. Orangnya lembut dan suka melagu pantun. Setiap malam bulan mengambang, dia akan duduk di anjung rumah sambil melagukan pantun dan menyisir rambutku. Dia juga gemar memetik pelbagai jenis bunga berwarna putih lalu dimasukan ke dalam buyung dan diembun semalaman. Kami tidak dibenarkan bercakap dan menegur sepanjang ritual itu dilakukan. Selepas itu, nenda akan tidurkan aku beralaskan kain putih sepanjang malam. Pada waktu itu bagiku tiada ada yang aneh tentang tingkahnya. Namun sekarang aku rasa ada yang tidak kena.
Aku terus ke kampung nenek sebaik tiba di tanah air lalu langsung dibawa mengadap nenek. Hati aku sebak melihat dia yang terbaring lesu tidak bermaya. Matanya terpejam rapat. Perlahan aku memanggil nenek.
“Nenda.. Intan datang, intan dah balik”
Reaksi nenda begitu mengejutkan kami yang berada di situ. Dia bingkas bangun dengan bertenaga sambil merenung aku lama dan tersenyum lembut.
“Sirih pulang ke gagang akhirnya, teman kan nenda disini.”
Dia berkata perlahan lalu mengenggam tanganku. Serentak itu, seluruh kamar nenek berbau harum bunga sedap malam yang entah dari mana datangnya..
“Waris kulo sudah kembali. Mayang sudah kembali, Sri Kunaning tidak akan sunyi”
Nenda menyambung kembali.. Aku berpandangan dengan ibu meminta penjelasan. Tetapi ibu hanya memandangku sayu.
“Masanya dah tiba Intan, sudah tidak lama”.
Aku bertambah bingung.
Malam itu sekali lagi aku dipakaikan dengan pakaian serba putih dan diminta mendampingi nenda. Seluruh kaum lelaki diminta meninggalkan rumah dan bermalam di baruh. Aku memasuki kamar nenda. Kelihatan dia sudah mampu duduk bersimpuh dan seperti biasa kelihatan anggun dengan kebaya serba putih. Rambutnya disanggul kemas. Dupa berisi kemenyan di sebelah kanan dan buyung berisi bunga di sebelah kiri. Aku duduk dihadapannya.
“Dengarlah Mayang, sudah sampai masanya kau menjadi Mayang keluarga kita mewarisi Sri Kunaning warisan keluarga. Aku, Engku Tanjung Piah melepaskannya tunjang ini padamu dari leluhur sebelah menyebelah kita.
Dengarlah pantun ini aku lafazkan dan ingatlah ia wahai Mayang ku. Jagalah ia seperti kau menjaga nyawa dan jasadmu. Gunakan dia untuk melindungi warisan kita.”
Lalu pantun aneh itu nenda lafazkan dengan berlagu merdu. Suasana kamar terasa begitu dingin serta menakutkan harumnya. Aku dapat rasakan hadirnya puluhan makhluk yang tidak kasat mata di situ seolah turut serta menyaksikan ritul tersebut. Sebaik saja nenda menghabiskan pantun berlagu itu, jendela terbuka diterjah angin kuat disambut bunyi seakan gamelan dan suara orang bersorak-sorai.
Tiba-tiba kelihatan sesusuk tubuh perempuan yang sangat cantik berkemban seakan busana puteri dari keraton tanah Jawa berdiri di belakang nenda.
“Masa kau sudah tiba Engku Tanjung Piah. Dia Mayangku yang baru. Urusan kita sampai di sini. Engkau aku lepaskan.”
Perempuan cantik itu bersuara perlahan
“Jagalah Mayang ini dengan baik. Sesuai dengan janji mu duhai Kunaning. Tunjangkan warisanku. Sudah sampai janji ku pada pencipta ku dan juga penciptamu. Iya urusan kita sampai di sini.”
Nenda membalas kata-kata perempuan itu. Sejurus itu nenda merenungku sayu dan perlahan-lahan menutup mata.
Bersambung…
Test 2
Kredit: Long Tuan