Categories: Seram

Didampingi, Dirasuki, dan Mewarisi

Share

Oleh: Hakim S

Kisah bermula sewaktu aku berusia 23 tahun. Ketika itu aku sedang menyambung pelajaran pada peringkat Master di sebuah universiti terkemuka di Shah Alam. Sebelum ini, aku tinggal beramai-ramai menyewa sebagai pelajar sarjana muda. Namun apabila tidak ramai menyambung pelajaran, maka aku pun berpindah ke rumah baru dan selalu keseorangan di dalam bilik. Kadang-kadang membuat assignment yang bertimbun, kadang-kadang main game.
Kawasan yang aku tinggal tu kawasan perumahan baru. Mungkin dulu hutan rimba, ditebang dan dijadikan kawasan perumahan.

Itulah orang kata, makhluk halus ni suka tengok kita seorang diri, habiskan masa sorang-sorang. Mulalah dia suka dekat kita. Aku pula, tanpa mengetahui perkara sebenar, benda ni dah start berdamping dengan aku. Bila berdamping, dia seperti sudah bagi satu ilmu dekat aku. Aku tiba-tiba boleh ‘baca’ orang. Aku boleh baca pasal diri dia, family dia, atau kawan-kawan dia. Orang yang aku tak pernah jumpa, bila ada orang suruh aku baca pasal si polan tu, aku tiba-tiba boleh describe pasal tuan empunya badan tu, history dia, masalah lama dia, masalah sekarang dia, dan cara untuk dia atasi sesuatu masalah itu. Ilmu ni pula aku guna tanpa berguru. Memang silap besar lah ada ilmu tapi tiada guru kan.

Setelah giat membaca orang, sampai la suatu ketika ni aku dah tak tahan dah, aku ke mana-mana aku rasa kelam-kabut, anxiety makin memuncak. Aku rasa aku macam dibelenggu bayang-bayang hitam ke mana-mana je aku pergi. Jadi ada suatu pagi tu, aku sebenarnya dalam perjalanan ke kelas, aku berhentikan kereta, cari nombor telefon tempat perubatan Islam yang terdekat. Aku ingat nak cari yang dekat Shah Alam je, tapi tak bukak lagi sebab waktu tu dalam 7.00pagi. Yang aku dapat telefon waktu tu ialah Pusat Perubatan Darussyifa Bangi.

“Assalamualaikum, ini Pusat Perubatan Darussyifa Bangi ke? Buka ke sekarang?”

“Waalaikumsalam, ya buka, kenapa ya?” jawab seorang Ustaz.

“Saya rasa saya terkena gangguan la” kataku dalam nada teresak-esak.

“Hah ni dah teruk lah ni, datang sini mari,” kata Ustaz tu.

 

Macam mana dia tahu aku tengah teruk sangat waktu tu, aku pun tak tahu. Aku pun gigihkan diri memandu ke Bangi dari Shah Alam waktu tu. Waktu ke sana, aku memang tak ingat sangat. Sebab rasa diri ni berat sangat, dan bukan aku sahaja yang kawal diri aku waktu tu; faham-faham sahajalah. Aku macam sekejap sedar, sekejap tidak waktu memandu tu. Setibanya di sana memang tak ramai orang. Dua, tiga giliran lepas tu, aku masuk satu bilik tu jumpa seorang Ustaz ni.

Dia tanya, apa masalah. Aku cerita lah hal sebenar. Dan dia pun kata, ya memang ada banyak sangat benda dalam badan aku ni, dia beranak-pinak. Tapi cara dia ubatkan aku tu pun aku tak rasa dia buang. Dia lebih kepada tone down kan benda-benda dalam badan aku ni daripada menguasai aku. Dia cakap, jangan guna lagi ilmu tu. Selepas keluar dari pusat perubatan tu, aku terasa cerah hati sedikit. Dah lama aku tak rasa macam tu, rasa macam sedih dan baru ingat Tuhan.

Kemudian aku rasa tak berdaya nak pulang ke Shah Alam, aku singgah ke rumah bapa saudara di Kajang. Sesampai sahaja di rumah dia, keluar je kereta aku rasakan angin yang kuat memukul-mukul aku. Tapi aku tahu itu bukan angin. Dia punya meremang memang lain macam! Kemudian aku jumpa Pakcik dan Makcik aku di dalam rumah, aku menangis teresak-esak. Ceritakan hal yang sebenar. Tapi makin lama aku duduk dalam rumah tu, makin rasa tak tentu arah. Tiba-tiba Nenek aku yang tinggal dengan mereka, yang sudah berusia lewat 80-an, sarat nyanyuk pun keluar dari bilik dia. Aku pun macam takut semacam jadinya. Aku rasa dekat rumah tu pun banyak ‘benda’ nak kacau aku, dan mungkin ada kaitan dengan nenek aku ni. Makcik aku pun tarik aku keluar rumah.

Keluar rumah, Makcik aku pun cerita hal sebenar. Dia kata rumah dia tu pun sebenarnya banyak ‘benda’. Nenek aku tu pun sebenarnya ada saka. Kenapalah aku tak tahu pasal ni?! Dan, Makcik aku ni pun ada saka juga! Tapi reaksi aku lebih teruk bila dengan Nenek aku tadi. Mungkin sebab Nenek kandung, dan Makcik aku ni hanyalah anak menantu dia. Dalam hati pun aku macam “Ah sudah! Aku datang sebab nak berehat..”. Waktu tu dah petang lepas Zohor, Makcik aku pun tak beri aku masuk rumah dia lagi. Dia kata “Hakim tunggu luar rumah, kita pergi jumpa Ustaz”. Terus kami ke rumah Ustaz.

Sebelum sampai rumah Ustaz, dia berhentikan kereta di tepi jalan. Makcik ‘tunjukkan’ diri dia yang sebenar dekat aku. Dia kata “Nampak tak?”. Aku dalam hati “Ya Rabbi, nampak apa pula ni??”. Nasib baik aku tak nampak apa-apa. Lepas itu dia tanya dekat aku ada amalkan apa-apa ayat ke, aku katakan tidak. Tapi selepas dikorek aku ada amalkan satu ayat ni sewaktu kecil dari Nenek aku yang tadi tu. Sebenarnya sewaktu kecil aku banyak habiskan masa dengan Nenek, dari umur aku 7 tahun sehingga 12 tahun. Selepas arwah Datuk meninggal, aku akan temankan dia setiap malam. Nasib baiklah ibu dan ayah buat rumah dekat dengan Nenek, jadi lepas sekolah agama setiap petang mereka akan hantar aku untuk tidur di rumah Nenek. Kami menetap di Johor. Jadi beberapa tahun kebelakangan ni setelah dia mula nyanyuk teruk, anak Nenek yang lelaki tinggal di Kajang ni ambil untuk dijaga.

Setiap malam, sebelum tidur Nenek suruh amalkan baca Ayat Kursi, 3 Kul, dan satu ayat Quran yang dipertambah isi kandungan yang merepek di belakangnya dalam bahasa Minangkabau. Nenek aku ni sebenarnya berasal dari Padang, Sumatera. Maka tidak hairanlah dia mewarisi saka ini dari sana. Ayat yang merepek dia ajar aku dari kecil tu rupanya ayat pendinding yang dia belajar dan dia turunkan dekat aku. Maka, sahlah aku pun ada saka juga sebenarnya.

Sampai sahaja di rumah Ustaz, cara perubatan dia lakukan lain pula. Di Darussyifa pagi tadi, aku kena tangkal sahaja dan dibaca ayat Ruqyah. Di rumah Ustaz ni pula, dia macam nak tarik terus benda tu keluar dari badan aku. Ayat yang sama juga dia cakap, dalam badan aku ni sebenarnya dah banyak, dah beranak-pinak. Ya lah, dengan gangguan di rumah baru tadi, kemudian dengan saka yang aku warisi lagi. Yang beranak-pinak tu aku tak faham sangat macam mana. Tapi boleh rasa sewaktu proses nak buang tu, terasa banyak yang keluar. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa peritnya sewaktu proses nak buang benda-benda ni dalam badan aku. Sewaktu ‘ditarik’ keluar oleh Ustaz, aku terdengar benda ni menyebut:

“Hakimm…… Hakimmmmm.. Jangannnnnnnnn. Jangaaaaaaan..”.

Macam mereka ni tidak mahu berpisah dari badan aku.

Aku rasa lama juga proses nak buang tu, tahu-tahu dekat luar dah Maghrib. Malangnya, Ustaz tu tak dapat nak buang semua. Selepas sesi aku habis bersama Ustaz tu, aku seperti dalam keadaan yang perit sangat dari segi emosi. Boleh rasa bukan aku kawal diri aku seratus peratus. Aku boleh rasa di bahagian otak aku, benda tu kawal separuh otak kiri aku. Seperti sewaktu dikawal, benda tu mencengkam separuh otak aku. Tetapi bila aku baca ayat-ayat al-Quran, benda tu tidak lagi mencengkam. Ustaz pun kemudian ada cakap, dalam badan aku ni ada Jin jahat, ada Jin baik (Islam) juga.

Lepas tu aku pun balik ke rumah Pakcik dan Makcik aku. Aku baca ayat-ayat Quran selalu. Makcik aku pun dah telefon ibu dan ayah aku waktu tu menceritakan perkara yang sebenar.

Setelah seharian penat melalui pelbagai sesi perubatan, aku pun tidur di ruang tamu mereka dalam keadaan sedih bercampur takut.

Malam itu, aku terkena histeria! Pertama kalinya aku alami perkara ni. Taktahu lah sebab apa, mungkin benda tu masuk balik dalam badan aku. Mungkin benda lain tengok badan aku sudah ada kekosongan, dia nak masuk.

Wallahualam.

Aku memang ingat kejadian ni walaupun sewaktu dia tengah kawal badan aku. Aku waktu tu tengah tidur, tetapi aku boleh nampak benda tu masuk dalam badan aku. Aku seolah-olah tengah ‘astral projecting’. Aku sedang berdiri dari luar badan aku ketika itu, dan aku nampak ada satu lembaga hitam dekat atas kepala aku nak melompat ke dalam badan aku. Dia masuk ikut leher sebab aku boleh rasa dia masuk dari urat leher aku. Sakit. Kemudian aku dah tak ‘astral projecting’, aku terus tersedar.

Sedar-sedar aku tengah menjerit-jerit dalam keadaan terbaring. Waktu aku sedar tu pun, keliling aku ialah Pakcik, Makcik, dan sepupu aku cuba tenangkan aku.

Aku cakap:

“Tolong Makcikkkk, tolooong Pakcik..”

Tapi dalam nada suara yang sangat garau! Bagi mereka yang mengenali aku, suara aku tidak garau langsung.

Namun ketika itu, sangat garau dan Makcik aku menjawab:

“Siapa ni, suara dah berubah ni? Nak aku tolong kau??!”

Aku kali ni terasa badan kiri aku, seperti dikawal Jin jahat, bahagian kanan dikawal Jin baik. Aku boleh rasa yang mereka tengah bergaduh di dalam badan aku. Dalam pada masa yang sama, orang sekeliling aku ceritakan waktu ni aku duduk bersila, membebel tak tentu arah, serta mengeluarkan cemuhan-cemuhan tidak berasas, dengan suara garau.

Kemudian Makcik dan Pakcik aku suruh baca ayat-ayat Quran dan lama kelamaan aku dapat kawal diri aku balik.

Sejak peristiwa ini sehinggalah setahun kemudian, aku tidak berhenti-henti pergi berubat dengan macam-macam Ustaz yang lain. Aku berhenti belajar di Shah Alam dan pulang ke kampung di Johor. Ayah, Ibu, dan adik aku yang jaga aku pula.

Pada awalnya, aku rasa sangat takut untuk berhadapan dengan norma baru ini. Setiap malam selalu mimpi yang bukan-bukan, di mana orang kata tanda-tanda dalam mimpi yang aku alami ini memang dari Jin-jin yang banyak nak bertuankan aku.

Aku selalu mimpi orang nak beri keris, atau mimpi orang nak beri bayi. Mula-mula aku macam ingat mimpi biasa, lama-kelamaan aku sudah pun kenal pasti mimpi sebegini. Kalau mimpi orang nak beri bukan-bukan ni jangan terima. Tapi, dah nama pun mimpi, macam mana nak kawal?! Paling seram sebenarnya mimpi bayi kerana bayi-bayi ni biasanya sangat hodoh nak menyerupai muka orang tua.

Selain itu, dikacau dalam mimpi pun selalu juga. Mimpi paling meremang ialah mimpi pontianak, dia ikat aku di pokok kelapa. Dia ikat aku guna ular hidup!

Terperangkap dalam mimpi pun ada juga. Ada satu masa ni, di siang hari aku tidur di luar bilik dan bermimpi. Dalam mimpi tu, ada makhluk ni nampak macam manusia perempuan biasa, tapi besar dan berwarna hijau. Aku seolah-tahu aku terperangkap dalam mimpi tu. Situasi dalam mimpi tersebut sangat segar dalam fikiran aku: Aku di dalam sebuah rumah kampung yang lama, dan makhluk hijau ni duduk di atas sebuah kerusi, ketawa mengilai-ngilai sebab aku terperangkap dalam mimpi tu. Aku merayu-rayu dengan makhluk ni supaya lepaskan aku. Tetapi, dalam rumah tu juga, ada perhatikan ada juga jenis Jin/bunian yang baik-baik. Mereka ramai dan nampak aku kena kacau dengan makhluk hijau ni. Mereka yang aku rasakan baik ini pula, aku tahu mereka baik sebab semua berpakaian menutup aurat, bertudung, berbaju kurung jenis lama. Sewaktu itu, Jin-jin baik ini berkata antara satu sama yang lain

“Panggil Sarah, panggil Sarahh!..”

Sarah ni sebenarnya adik aku! Dia memang ada di rumah sewaktu aku tengah terperangkap dalam mimpi ni. Jadi, dalam mimpi tu selepas seorang tu suruh panggil Sarah, rupanya, dalam realiti sebenar, adik aku memang ternampak aku tengah tidur tapi mulut terkumat-kamit, dan dia kejutkan aku!

Jadi, aku tak tahu lah macam mana komunikasi yang dilakukan oleh jin baik itu tadi supaya adik aku ni tadi boleh ternampak aku tengah tidur waktu mulut sedang terkumat-kamit, sedangkan dia sedang sibuk membuat kerja rumah.

Perkara ini agak meremang kerana di dalam mimpi itu seolah mereka membantu aku untuk keluar dari mimpi tu.

Lama-kelamaan, perkara gangguan ini beransur pulih. Sekarang umur aku sudahpun 28. Aku tahu benda-benda ni ada lagi dalam badan aku. Aku boleh rasakan. Sewaktu aku menulis cerita ini pun, aku boleh rasakan dia ada. Dia suka kalau kita beri perhatian dekat dia.

Cuma, aku ikut nasihat ibu dan ayah aku untuk buat tak tahu sahaja tentang makhluk-mahluk ni.

Tetapi, nak buat taktahu pun susah juga, terutamanya kalau aku pergi ke tempat-tempat yang ‘keras’ atau berborak dengan orang yang ada ‘benda’ juga dalam badan mereka, aku boleh rasakan.

Cuma, tidaklah aku cakap dengan orang-orang yang aku sedang berbual tu yang dia ada juga. Dan aku pun tidak menceritakan hal ini kepada orang-orang yang aku baru kenal.

Pernah sekali pada hujung tahun lepas, aku ikuti satu persidangan pelancongan di Pulau Pinang, dan antara intipatinya kena melawat kawasan-kawasan bersejarah di sana. Waktu tu, pertama kali aku masuk tokong Cina yang tertua di sana. Kami para peserta persidangan di bawa masuk untuk belajar tentang sejarah tempat tu. Masa masuk, aku waktu tu dah rasa lain, sebab memang kuat terasa ‘dicengkam’. Sudah lama aku tak rasa sebegini. Sebab sewaktu itu, memang tengah giat di dalam tokong tersebut colok dibakar, oleh para penganut yang tengah sembah berhala yang pelbagai jenis. Seluruh bahagian kiri aku kebas tiba-tiba. Tapi aku cekalkan sahaja duduk di dalam tokong itu bersama para peserta yang lain untuk terus dengar taklimat.

Jadi, itu sahajalah cerita untuk kali ini. Pelbagai lagi kisah yang aku tak sempat nak ceritakan. InsyaAllah di kemudian hari.

Nasihat aku kepada mereka yang sedang atau baru mengalami perkara sebegini, janganlah biarkan mereka menakut-nakutkan kita. Manusia lagi tinggi darjatnya daripada mereka ini. Jaga solat, dan ingatlah bahawa Allah sentiasa melindungi kita.

Wassalam.

Published by
Keyboard Angker