Kisah ni bermula semasa aku, Yong, Gus dan Tika sedang lepak di kedai makan. Kami tak tahu nak buat apa malam ni. Bosan. Yong cadang buat ekspedisi mencari hantu. Ini bukan kali pertama kami pergi tempat keras, jadi cadangan untuk mengisi masa terluang itu menarik. Tika paling teruja. Tak padan dengan perempuan, Tika ni memang tomboy sikit, tapi dia ada hati dengan Gus. Dia beritahu aku seorang je.
So kami pun ke kubur berdekatan. Aku paksa Tika naik dengan Gus, Tika buat muka kat aku, aku dan Yong cari barang sikit. Kita akan jumpa di kubur tepat jam 11.30.
11.30 malam, kami semua tiba di kubur. “Korang beli apa?” tanya Tika.
“Kita nak cabar kubur?” kata Yong.
“Kau gila ke?” kata Gus. “Tak nak aku.”
“Apa tu cabar kubur?” tanya Tika.
“Dia nak seru hantu tu. Aku nak belah. Awak nak ikut saya ke awak nak stay?” tanya Gus kepada Tika.
“Saya nak tengok” jawab Tika.
Muka Gus tak puas hati. Dia tinggalkan kami. “Kau datang bulan tak?” aku tanya Tika.
“Aah.” jawab Tika.
“Aku rasa kau patut ikut Gus pulang.” aku beritahu Tika.
Tika macam terbelah bahagi. Akhirnya dia kejar Gus. Mereka pun meninggalkan kita. “Lebih baik kita dua je Yong.” aku beritahu Yong.
Kami pun cari kubur yang dah lama. Kami jumpa satu kubur yang sesuai. “Wahida binti Jantan. 1962. Ok ni.” kata Yong.
“Nak rekod ke?” aku tanya Yong.
“Tentulah” aku jawab.
Aku sedia rekod. Yong pun membaca sesuatu. “wahai Wahida binti Jantan. Wahida binti Jantan. Ku seru ku seru nama mu. Wahida binti Jantan. bangkitlah dikau di alam kuburmu dan bertemulah aku di alam nyata.” Yong terus membaca.
Selepes itu Yong melangkah kubur Wahida binti Jantan. “Alamak. Yong. Bateri dah nak mati.” kata aku.
“Apasal sejuk sangat ni. Wei, beku badan aku ni.” kata Yong. “Bawa aku ke rumah Wak.” Kami pun bergegas ke rumah Wak. Badan Yong keluar tompok kemerahan. Dia sambung mengiggil. “cepat sikit.” Tak silap aku, time tu handphone aku mati.
Kami pun tiba rumah Wak. “Wak. Wak.” aku memanggil Wak.
Dia keluar dari rumahnya dan senyum, “Kan Wak dah pesan tadi, korang masih buat juga. Bawa dia masuk.”
Wak pun merawat Yong. Selepas Yong sihat, aku hantar dia balik.
Aku pun pulang ke rumah. Aku ingat tak ada apa-apa terjadi kat aku, rupannya… “Hakim” aku dengar suara perempuan memanggil namaku. Apabila aku pandang belakang, tak ada sesiapa. Meremang rasa badanku. Tapi sebaik aku sampai rumah, aku nampak di rear mirror aku, seorang perempuan, hitam seluruh badannya, rambutnya jarang-jarang.
Aku keluar terkejut dan bergesa-gesa ke rumah. Perempuan itu ikut aku dari belakang. “Hakim”. Aku cari kunci dalam poket. Alamak, aku terlupa bawa kunci. Aku berlari ke pintu rumah.
“Mak! Buka Pintu Mak! Mak!” Aku ketuk pintu rumahku. Nak telefon tak boleh, handphone dah mati. Nak buka pintu tak boleh, kunci rumah lupa bawa. “Buka Pintu Ayah!Mak! Ayah!”
Jam dah menunjukkan pukul 2 pagi. *tap *tap *tap *tap… bunyi tapak kaki sedang berjalan atas bumbung. *tap *tap *tap
“Mak. Ayah. Buka Pintu!” sambil mengetuk pintu dengan kuat.
Aku tak nampak dia tapi aku rasa kehadirannya. *swoosh* seperti sesuatu berjalan di belakang aku. Apabila pusing, tak nampak sesiapa.
Perempuan itu memanggil semula nama aku, “Hakim… Hakim… Hakim…”
Ketukkan aku makin kuat. “Mak!”
“Ya. Ya.” Mak aku akhirnya jawab. Dia buka pintu. “Kau dah kenapa?”
Aku tak fikir apa-apa, aku terus masuk rumah. Aku tutup langsir rapat-rapat, tutup pintu kuat-kuat. “Hakim? apasal ni?” mak aku tanya sekali lagi.
Aku pun beritahu kepada mak ku apa yang terjadi. Tiba-tiba aku dengar bunyi ketukan di pintu. “Hakim… ”
Mak aku suruh aku mandi sambil ambil wuduk. Aku ikut arahan dia. Dia ambil sebotol air dan baca surah yasin. Selepas mandi, dia suruh aku minum. Dia juga merenjis-renjis ke arah pintu. “Dah Hakim. Pergi tidur. Insya Allah ia dah takde.” kata Mak.
Malam itu aku tak boleh tidur. Rasa menyesal sungguh.
Keesokkan hari aku dapat tahu Gus dan Tika, akhirnya bercinta, Yong pulak sedang berehat di rumah.
Sudah hampir setahun Kodi tidak ada wanita istimewa dalam hatinya (selain ibunya :P). Kodi sudah tawar hati selepas kali terakhir dia ada pasangan, dia hampir kahwin, malah dah bertunang. Pendekkan cerita, orang kata bertunang ni darah manis, memang betul. Sebulan sebelum nikah, Kodi dan tunangnya asyik gaduh. Ada pulak seorang mamat ni, tempat kerja tunangnya, yang selalu bagi ‘moral support’ (kononnya). Tapi secara tak langsung, dia telah menghasut tunang Kodi. Akhirnya mereka berpisah kerana tunangnya dah jatuh cinta dengan mamat tu. Kesian Kodi.
Berbulan sudah berlalu. Kodi takut untuk melalui peristiwa yang sama. Takut untuk bercinta. Kodi bukannya tak ada orang yang minatnya, malah mukanya boleh tahan. Ada je wanita-wanita yang suka dengannya. Termasuk seorang perempuan ni, kawan anak ibunya. Cantik. Beradab dan berakhlak. Pilihan setiap suami. Tapi Kodi masih tidak bersedia.
Satu hari Kodi sedang menunggu bas. Semasa tu jam menunjukkan pukul 9 malam. Datang seorang perempuan ni menunggu bas yang sama. Perempuan ini comel. Rambut pendek. Cermin mata jatuh ke hujung hidung. Perempuan itu terpandang Kodi, dia memegang beg tangannya dengan erat tapi sempat bagi senyuman takut-takut kat Kodi. Dia membalas senyuman perempuan itu.
Bas pun tiba. Kodi memberi perempuan itu naik dulu. Hari ini penumpang penuh. Tempat duduk yang ada pun tinggal dua. Kodi berpeluang duduk dengan perempuan itu. Pada awalnya dia tidak bercakap tapi apabila bas itu terlanggar lubang, beberapa orang terlompat dari seat mereka termasuk perempuan itu. Dia terlompat ke arah Kodi. Ala, bayangkan cerita romantik korea. Macam tu la terjadi. Dia meminta maaf. Kodi maafkan dia. Mereka mula borak dan terkejutnya banyak pulak persamaan mereka. Nama perempuan itu, Maya.
Maya memberitahu depan ni stop dia (hint untuk Kodi mengambil nombornya). Tapi Kodo hanya senyum. Sampainya di bas stop, Maya bangun. Sekali lagi dia ulang dekat Kodi, ini stopnya (hint sekali lagi dekat Kodi). Tapi Kodi hanya senyum dan biarkan Maya pergi tanpa mengambil nombornya.
Setiap hari yang berlalu, Kodi berasa menyesal tidak mengambil nombornya. Kodi mengambil keputusan untuk tunggu tempat yang sama pada jam yang sama. Harapannya dia dapat jumpa dengan Maya. Selama seminggu Kodi melakukan rutin ini tapi Maya tidak muncul.
Selepas dua minggu mencari cinta, Maya masih tidak muncul. Malam ini cadangan Kodi dia akan buat kali terakhir dan berserah pada jodoh. Dia pun tunggu dan tunggu. Sehingga muncul Maya. Tersenyum lebar Kodi. Maya duduk di sebelah Kodi. Dengan bajunya serba putih dan minyak wangi harum bunga melati. Kodi jatuh cinta.
Mereka duduk di perhentian bus itu berborak. Sebuah kereta polis berhenti depan mereka. Dia tanya kat Kodi kenapa duduk di perhentian bus? Sesat ke? Kodi jawab sahaja menikmati malam. Polis pesan sini tempat keras. Kadang-kada ada hantu nak ikut pulang. Kadang-kala ada penyamun mencuri orang. Polis itu sambung, bulan lepas berlaku satu kejadian ragut. Seorang perempuan tu sedang tunggu bus dan begnya di ragut. Dia di seret jauh juga. Selepas menceritakan kisah itu. polis pun beredar.
Kodi dan Maya beredar dari tempat itu. Kodi menawarkan untuk hantar Maya ke rumahnya. Maya setuju. Kodi tiba di sebuah rumah penuh orang bersongkok dan berbaju melayu. Maya suruh Kodi parkingkan keretanya dan masuk ke dalam sementara dia bersiap sedia. Kodi tak faham apa yang Maya maksudkan tapi dia ikut je. Dia park kat tepi dan masuk ke dalam majlis itu. Terpingga-pingga menunggu Maya.
Tidak lama kemudian ada seorang lelaki tegur Kodi. Dia beritahu dia sedang menunggu Maya. Maksudnya kawan Maya? tanya lelaki itu. Kodi angguk sahaja. Lelaki itu peluk Kodi. Dia makin pening. Rupanya lelaki itu abang Maya. Dia bawa jumpa ibubapa Maya. Kodi tanya mana Maya, ibu bapanya jawab, dia telah di kebumikan tengahari tadi. Kodi makin pening. Ibu bapanya beritahu yang Maya mati sebab di seret oleh penyamun. Dia sudah dua minggu koma dan pagi tadi dia baru sah mati. Kodi terkejut mendengar kisah itu. Perempuan yang dia berborak tadi, dia gelak bersama dan dia bawa tumpang sebeanrnya roh yang telah meninggal.
Selang beberapa hari, Kodi terima tawaran ibu untuk menyatukan dia dan anak kawan ibunya.
Hati Haris dan Sofea gembira bukan main apabila akhirnya mereka mampu memiliki rumah sendiri. Maklumlah usia perkahwinan telah menjangkau tiga tahun dan telah miliki seorang cahaya mata. Sudah tentu, mereka sekeluarga inginkan sebuah rumah sendiri biar pun kecil tetapi bermakna buat keluarga ini.
Selesai urusan pindah hak milik rumah, Haris dan Sofea merancang untuk berpindah ke rumah baru pada bulan Disember. Tambahan pula ketika itu cuti panjang, dapatlah mereka uruskan mengemas secepat mungkin. Aulia, anak mereka seperti gembira dengan persekitaran barunya lebih-lebih lagi ada playground dan swimming pool.
Tambah beruntung ada pengasuh di sebelah rumah yang sudi menjaga Aulia ketika pasangan ini keluar bekerja. Apabila setiap kali menghantar Aulia ke sana, pasti Aulia asyik tersenyum dan ceria malahan dia juga tidak berkira apabila Haris dan Sofea pulang lewat malam, disuruh pula pasangan ini pulang bersihkan diri dahulu barulah ambil Sofea.
Segala-galanya tampak indah sehinggalah suatu hari ketika Haris dan Sofea ingin menyambut ulangtahun perkahwinan mereka. Malam itu mereka tinggalkan Aulia bersama pengasuh kerana ingin keluar makan malam dan menonton wayang larut malam bagi meraikan hari istimewa. Mujurlah pengasuh faham. Dia juga beritahu biar saja Aulia tidur di rumahnya jika dah lewat malam sangat.
Setiap saat yang dilalui malam itu berlaku dengan pantas, setelah menonton wayang pasangan ini bergegas pulang ke rumah. Teringat anak kecil yang ditinggalkan bersama pengasuh. Akibat pulang lewat malam, parkir kereta di ambil orang dan terpaksalah mereka parking agak jauh dari rumah mereka. Menurut penghuni apartment, kawasan tersebut agak keras oleh sebab itu jarang-jarang ada penghuni parkir kereta di situ. Tetapi akibat rasa mengantuk dan letih, Haris letakkan juga kereta di kawasan tersebut.
Setelah memastikan kereta berkunci, mereka jalan beriringan ke kawasan apartmen. Baru tiga langkah, tiba-tiba hon sebuah kereta lama berbunyi. Pasangan ini terkejut lalu serentak berpaling ke arah kereta itu. Kelihatan kereta itu seperti telah lama ditinggalkan tetapi dari jauh sayup kedengaran suara wanita dan anak kecil memohon pertolongan. Biar pun tidak sedap hati, Haris memimpin tangan Sofea untuk melihat keadaan kereta tersebut. Haris mengelilingi kereta tersebut tetapi seakan-akan tiada orang.
Haris cuba menjerit seraya bertanya, “Ada seseiapa di dalam tak?”. Kereta yang pada mulanya diam kaku, mula bergoncang seperti ada seseorang di dalam melepaskan diri. Terperangkap barangkali, getus Haris di dalam hati. Sofea pula mula merayu suaminya agar pulang sahaja dan abaikan apa yang berlaku tetapi Haris langsung tidak mengendahkan.
Haris cuba membuka pintu kereta tetapi berkunci, Haris tekad untuk mengambil batu dan pecahkan cermin kereta. Setelah cermin dipecahkan, suara tadi seakan sepi. Tiada lagi suara jeritan tadi, tiba-tiba angin sepoi bertukar menjadi kuat disertai ngilaian suara yang cukup nyaring.
Haris dan Sofea berlari seakan tidak bernafas. Mereka langsung pulang ke rumah tanpa mengambil Aulia. Keesokkan paginya barulah Aulia diambil dan Haris menceritakan segalanya pada pengasuh mereka. Pengasuh tersebut meminta Sofea dibawa berjumpa ustaz kerana dia demam panas sejak peristiwa itu.
Setelah berjumpa ustaz dan diberi air doa untuk memulihkan semangat, Sofea makin pulih. Jelas ustaz, Sofea terkena gangguan jin apatah lagi ketika itu Sofea datang bulan, sudah tentu badannya sangat lemah. Menurut jiran tetangga, kereta lama tersebut dipercayai telah ditinggalkan penjenayah yang telah membunuh beberapa orang wanita dan itu sebabnya kereta berhantu.
Fazil dan lima rakannya telah merancang untuk pergi bercuti. Kali ini mereka berhasrat untuk ke sebuah pulau. Dari ibu kota, mereka berpakat menaiki bas ekspres.
Tiba hari yang sepatutnya, Fazil terpaksa menunda perjalanannya kerana dia perlu menghantar keluarga kakaknya yang hendak menunaikan umrah. Jadi, Fazil bertolak sehari selepas itu.
Ketika menunggu bas pada malam tersebut, Fazil ternampak seorang gadis manis yang duduk sendirian. Orangnya berwajah ayu dan berpakaian baju kurung merah kain kapas. Hati lelakinya tertarik dengan perwatakan gadis manis itu dan mereka sekadar berbalas senyuman.
Setelah mendapat tempat duduk, Fazil sibuk menghantar whatsApp kepada rakan-rakan bertanyakan perkembangan program mereka yang telah berada di pulau. Tiba-tiba Fazil perasan ada seseorang yang duduk di sebelahnya. Tak sangka, rupanya gadis manis akan menjadi teman perjalanannya malam itu. Hati Fazil berbunga riang. Dapatlah dia berkenalan dengan gadis manis itu.
Sepanjang malam, mereka asyik berbual sehingga tidak tidur. Nama gadis itu Amalin, rupanya satu universiti yang sama dengan Fazil tapi tak pernah bersua. Mungkin kerana berlainan jurusan. Tapi menurut Amalin, dia kerap melihat Fazil dan rakan-rakannya. Ya, mungkin juga dia dikenali apatah lagi dia aktif di universiti.
Mereka tiba awal pagi. Ketika turun bas, Fazil sibuk mencari kelibat rakan yang menunggunya untuk ke pulau. Amalin pula terus hilang dari pandangannya. Mungkin sudah dijemput keluarganya.
Fazil sendirian di tepi pantai. Dia tidak ikut serta rakan-rakan pergi snorkeling. Badannya masih penat menempuh perjalanan jauh malam sebelumnya. Tiba-tiba dia disapa oleh satu suara yang lembut. Fazil seakan tidak percaya melihatkan Amalin ada di sisinya. Walau pun rasa sedikit hairan tapi rasa gembira lebih mengujakan Fazil untuk berfikir lebih jauh. Kata Amalin, dia datang bercuti ke pulau itu untuk rehatkan diri bersama adiknya.
Setiap hari, Fazil akan berjumpa dengan Amalin pada waktu malam, selepas selesai segala aktiviti bersama rakan. Dalam hati terbit rasa suka pada Amalin dan Fazil juga tahu gadis itu berperasaan sama dengannya. Akhirnya genap seminggu, Amalin mengajak Fazil berjumpa dengan keluarganya pada malam terakhir sebelum bertolak balik. Entah mengapa, dengan mudah Fazil bersetuju, hatinya sudah terpikat pada Amalin.
Selama ini Fazil tidak pernah ceritakan kepada rakan-rakan tentang Amalin sehinggalah sebelum malam perjumpaan bersama keluarga Amalin. Itu pun kerana dia ingin minta salah seorang rakannya, Am menemani. Dia malu jika berseorangan. Am seorang yang agak tinggi ilmu agamanya, anak seorang ustaz. Am hanya tersenyum, mengangguk dan bersetuju untuk menemani Fazil.
Seperti yang dijanjikan, malam itu mereka menunggu Amalin dan keluarganya di tempat yang dijanjikan. Puas menunggu mereka tak kunjung tiba. Hendak telefon, tiada nombor telefon. Akhirnya Fazil mengajak Am menemaninya ke bilik yang disewa Amalin. Puas diketuk, tiada jawapan. Fazil kehairanan tapi Am hanya tersenyum. Sambil menepuk bahu Fazil, Am mengajak Fazil pulang ke bilik. Katanya esok mereka datang lagi.
Pagi-pagi lagi Fazil sudah mengajak Am ke bilik Amalin. Am pula mengajak Fazil ke resepsi resort. Mulanya Fazil hairan, tapi kata Am, mungkin boleh tahu sama ada Amalin sudah daftar keluar.
Tiba di kaunter resepsi, bila Fazil bertanya tentang nombor bilik Amalin, jawapan yang diberikan cukup mengejutkan. Bilik itu kosong dan tak pernah ditempah sepanjang minggu tersebut. Fazil terpaku dan fikirannya bercelaru. Kata Am, ada ‘seseorang’ yang sukakan Fazil dan ingin berkawan dengan Fazil. Nasib baik juga Am menemaninya malam itu. Jika tidak, mungkin Fazil sudah ke dunia lain. Malah kata Am, pada malam tadi sebenarnya dia ‘nampak’ seluruh ahli keluarga Amalin tapi mereka tak berani munculkan diri kerana kehadiran Am.
Lemah lutut Fazil mendengarnya. Masih terbayang wajah ayu Amalin. Tapi, siapakah gerangan gadis manis itu sebenarnya? Benarkah dia sudah pernah ‘berjumpa’ Fazil sebelum ini dan mengikut Fazil sehingga ke pulau ini? Ada banyak perkara di dunia ini yang tak dapat dijelaskan dengan logik akal…