Bunian ikut bercuti

Share

Fazil dan lima rakannya telah merancang untuk pergi bercuti. Kali ini mereka berhasrat untuk ke sebuah pulau. Dari ibu kota, mereka berpakat menaiki bas ekspres.

Tiba hari yang sepatutnya, Fazil terpaksa menunda perjalanannya kerana dia perlu menghantar keluarga kakaknya yang hendak menunaikan umrah. Jadi, Fazil bertolak sehari selepas itu.

Ketika menunggu bas pada malam tersebut, Fazil ternampak seorang gadis manis yang duduk sendirian. Orangnya berwajah ayu dan berpakaian baju kurung merah kain kapas. Hati lelakinya tertarik dengan perwatakan gadis manis itu dan mereka sekadar berbalas senyuman.

Setelah mendapat tempat duduk, Fazil sibuk menghantar whatsApp kepada rakan-rakan bertanyakan perkembangan program mereka yang telah berada di pulau. Tiba-tiba Fazil perasan ada seseorang yang duduk di sebelahnya. Tak sangka, rupanya gadis manis akan menjadi teman perjalanannya malam itu. Hati Fazil berbunga riang. Dapatlah dia berkenalan dengan gadis manis itu.

Sepanjang malam, mereka asyik berbual sehingga tidak tidur. Nama gadis itu Amalin, rupanya satu universiti yang sama dengan Fazil tapi tak pernah bersua. Mungkin kerana berlainan jurusan. Tapi menurut Amalin, dia kerap melihat Fazil dan rakan-rakannya. Ya, mungkin juga dia dikenali apatah lagi dia aktif di universiti.

Mereka tiba awal pagi. Ketika turun bas, Fazil sibuk mencari kelibat rakan yang menunggunya untuk ke pulau. Amalin pula terus hilang dari pandangannya. Mungkin sudah dijemput keluarganya.

Fazil sendirian di tepi pantai. Dia tidak ikut serta rakan-rakan pergi snorkeling. Badannya masih penat menempuh perjalanan jauh malam sebelumnya. Tiba-tiba dia disapa oleh satu suara yang lembut. Fazil seakan tidak percaya melihatkan Amalin ada di sisinya. Walau pun rasa sedikit hairan tapi rasa gembira lebih mengujakan Fazil untuk berfikir lebih jauh. Kata Amalin, dia datang bercuti ke pulau itu untuk rehatkan diri bersama adiknya.

Setiap hari, Fazil akan berjumpa dengan Amalin pada waktu malam, selepas selesai segala aktiviti bersama rakan. Dalam hati terbit rasa suka pada Amalin dan Fazil juga tahu gadis itu berperasaan sama dengannya. Akhirnya genap seminggu, Amalin mengajak Fazil berjumpa dengan keluarganya pada malam terakhir sebelum bertolak balik. Entah mengapa, dengan mudah Fazil bersetuju, hatinya sudah terpikat pada Amalin.

Selama ini Fazil tidak pernah ceritakan kepada rakan-rakan tentang Amalin sehinggalah sebelum malam perjumpaan bersama keluarga Amalin. Itu pun kerana dia ingin minta salah seorang rakannya, Am menemani. Dia malu jika berseorangan. Am seorang yang agak tinggi ilmu agamanya, anak seorang ustaz. Am hanya tersenyum, mengangguk dan bersetuju untuk menemani Fazil.

Seperti yang dijanjikan, malam itu mereka menunggu Amalin dan keluarganya di tempat yang dijanjikan. Puas menunggu mereka tak kunjung tiba. Hendak telefon, tiada nombor telefon. Akhirnya Fazil mengajak Am menemaninya ke bilik yang disewa Amalin. Puas diketuk, tiada jawapan. Fazil kehairanan tapi Am hanya tersenyum. Sambil menepuk bahu Fazil, Am mengajak Fazil pulang ke bilik. Katanya esok mereka datang lagi.

Pagi-pagi lagi Fazil sudah mengajak Am ke bilik Amalin. Am pula mengajak Fazil ke resepsi resort. Mulanya Fazil hairan, tapi kata Am, mungkin boleh tahu sama ada Amalin sudah daftar keluar.

Tiba di kaunter resepsi, bila Fazil bertanya tentang nombor bilik Amalin, jawapan yang diberikan cukup mengejutkan. Bilik itu kosong dan tak pernah ditempah sepanjang minggu tersebut. Fazil terpaku dan fikirannya bercelaru. Kata Am, ada ‘seseorang’ yang sukakan Fazil dan ingin berkawan dengan Fazil. Nasib baik juga Am menemaninya malam itu. Jika tidak, mungkin Fazil sudah ke dunia lain. Malah kata Am, pada malam tadi sebenarnya dia ‘nampak’ seluruh ahli keluarga Amalin tapi mereka tak berani munculkan diri kerana kehadiran Am.

Lemah lutut Fazil mendengarnya. Masih terbayang wajah ayu Amalin. Tapi, siapakah gerangan gadis manis itu sebenarnya? Benarkah dia sudah pernah ‘berjumpa’ Fazil sebelum ini dan mengikut Fazil sehingga ke pulau ini? Ada banyak perkara di dunia ini yang tak dapat dijelaskan dengan logik akal…

Published by
Blue